fbpx
Pegawai KPDN ketika memeriksa jam tiruan dalam serbuan di sebuah premis di sekitar ibu negara, Jumaat lalu. FOTO IHSAN KPDN

Jual jam ‘pilih bulu’, rupanya tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Taktik menjual jam tangan hanya kepada pelanggan terpilih bagi mengelak dikesan pihak berkuasa terbongkar dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sebuah premis sekitar ibu negara, Jumaat lalu.

Serbuan dilakukan Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya itu mendedahkan kegiatan menyimpan dan menjual jam tangan berjenama disyaki tiruan yang dijalankan secara tertutup di premis dua tingkat berkenaan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, operasi tersebut dilaksanakan hasil risikan hampir sebulan dengan kerjasama wakil pemilik cap dagang.

Jelasnya, premis berkenaan dipercayai dijadikan sebagai lokasi penyimpanan dan penjualan pelbagai jam tangan berjenama yang disyaki tiruan.

“Premis dikawal rapi dengan pintu kaca berkunci yang hanya boleh dibuka menggunakan alat kawalan jauh dari dalam selain dilengkapi televisyen litar tertutup (CCTV).

“Aktiviti penjualan pula dipercayai hanya dilakukan kepada pelanggan tertentu sahaja bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut menemui sebanyak 790 jam tangan pelbagai jenama dipercayai tiruan, selain kotak, beg kertas berjenama dan barangan lain turut dirampas dengan nilai rampasan dianggarkan RM790,600.

Azman berkata, Siasatan awal mendapati seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang juga pengurus premis mengendalikan kegiatan tersebut, termasuk mengurus stok dan jualan.

“Jam tangan tiruan diperoleh daripada pembekal luar negara sebelum diedarkan kepada pelanggan,” jelasnya.

Beliau berkata, suspek turut menjalankan kegiatan tersebut secara terselindung dengan menjadikan bahagian bawah premis sebagai bengkel pembaikan dan servis jam tangan.

“Manakala tingkat atas dijadikan tempat penjualan dan penyimpanan jam tangan tiruan bagi melindungi aktiviti sebenar,” ujarnya.

Menurutnya, suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] kerana disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran pemilik yang sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI