PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) menghala ke Pantai Timur dilaporkan mula mengalami kesesakan susulan orang ramai telah mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri petang tadi.
Tinjauan menerusi paparan kamera litar tertutup (CCTV) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) setakat pukul 5 petang tadi mendapati, jumlah kenderaan meningkat mendadak menyebabkan aliran trafik perlahan dan sesak di beberapa titik utama.
“Aliran trafik menuju ke Timur dilihat mula sesak bermula dari Plaza Tol Gombak di Kilometer (KM) 19.8.
“Keadaan sama turut dikesan di kawasan Genting Sempah (KM 35.3) di mana trafik bergerak perlahan berikutan pertambahan kenderaan yang ingin melalui kawasan tersebut,” lapor tinjauan berkenaan.
Sementara itu, di media sosial turut memaparkan keluhan pengguna jalan raya yang mendakwa terperangkap dalam kesesakan sejak awal petang tadi.
Menerusi hantaran beberapa pengguna, waktu perjalanan adalah lebih lama daripada biasa, malah ada yang mendakwa tersangkut selama sejam bagi jarak perjalanan yang pendek di kawasan bandar sebelum memasuki lebuh raya.
Orang ramai dinasihatkan agar peka dengan arahan petugas lebuh raya bagi mengelakkan kesesakan lebih teruk di plaza tol. – KOSMO! ONLINE














