fbpx
Akauntan semakin berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk memenuhi standard kelestarian yang ditetapkan. – Gambar hiasan

Malaysia bakal hadapi krisis perakaunan, laluan bakat tidak diperbaiki segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Institut Akauntan Malaysia (MIA) me­laporkan bahawa terdapat penurunan sebanyak 15 peratus dalam penyertaan baharu peserta di dalam profesion perakaunan antara tahun 2019 hingga 2022.

Kerajaan pula menegaskan bahawa menjelang tahun 2030, negara memerlukan 60,000 akauntan bertauliah.

Bersandarkan maklumat tersebut, Malaysia berdepan dengan bencana perakaunan yang bakal berlaku tetapi tiada siapa bercakap mengenainya.

Menurut sumber industri, ini bukan sekadar masalah angka tetapi ia adalah krisis kemam­puan yang mengancam tulang belakang kewangan negara, dengan syarikat, pelabur dan ekonomi keseluruhan berisiko jika laluan bakat ini tidak diperbaiki dengan segera.

Merujuk kepada kajian komprehensif merentasi beberapa universiti tempatan termasuk Universiti Teknologi Mara yang diterbitkan dalam Global Business and Management Journal, kira-kira 23 peratus graduan perakaunan memilih kerjaya di luar bidang perakaunan.

Gambar hiasan

“Trend ini menandakan sebahagian bakat yang dilatih dalam disiplin tersebut akhirnya tidak memasuki profesion yang sepatutnya mereka isi, sekali gus menambah tekanan kepada bekalan tenaga kerja akauntan yang sudah pun terhad,” jelasnya.

Ini turut disokong oleh kajian Institut Akauntan Awam Bertauliah Amerika (AICPA), manakala Institut Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA) yang menekankan bahawa berlakunya ketidakselarasan antara pen­getahuan graduan dan keperluan kerja perakaunan moden.

“Kemahiran asas semakin lemah apabila kerja manual semakin berkurangan, manakala kemahiran baharu seperti analitik data, literasi kecerdasan buatan (AI), pelaporan kelestarian dan komunikasi strategik masih belum berkembang secukupnya,” ujarnya.

Selain itu, majikan melaporkan, graduan mampu mengendalikan sistem, tetapi mereka menghadapi kesukaran mentafsir keputusan, mempersoalkan kejanggalan atau menilai kebo­lehdayaan kewangan sesuatu perniagaan.

Sumber industri itu berkata, profesion perakaunan telah berubah dengan drastik, tetapi pendidikan masih ketinggalan yang mana akauntan moden kini berdepan dengan standard ke­lestarian, pelaporan alam sekitar dan pemikiran bersepadu, bukan sekadar debit dan kredit.

Ramai graduan baharu juga kurang terdedah kepada kerangka pelaporan yang kini diwajibkan oleh Bursa Malaysia.

Gambar hiasan

Kesan krisis ini melangkaui prospek kerjaya individu dan kekurangan bakat ini sudah pas­tinya menyebabkan kelewatan dalam proses audit dan pelaporan kewangan, sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur.

Kos pengambilan pekerja turut meningkat sekitar 25 peratus apabila syarikat bersaing untuk mendapatkan tenaga kerja yang semakin terhad.

Lebih membimbangkan, kira-kira 60 peratus profesional perakaunan di Asia Tenggara dijangka bersara dalam tempoh sedekad akan datang, meninggalkan jurang kepakaran dan pen­getahuan di institusi besar jika tidak digantikan dengan generasi baharu.

“Punca masalah ini bersifat sistemik iaitu kurikulum universiti masih terlalu menumpukan teori, latihan digital terhad dan pembelajaran korporat sering tertumpu kepada kepatuhan semata-mata.

“Hubungan antara akade­mia, majikan, pengawal selia dan badan profesional pula masih longgar,” jelasnya.

Guru menjadi kunci kepada penyelesaian, pendidik tanpa kelayakan profesional atau pengalaman industri sukar menghubungkan teori di bilik darjah dengan realiti di tempat kerja.

Sehubungan itu, usaha perlu digerakkan untuk meningkatkan kemahiran guru melalui kelayakan profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang di­sampaikan melalui platform digital yang mudah diakses.

“Guru lebih berkualiti melahirkan graduan yang lebih bersedia, sekali gus mengukuhkan laluan bakat nasional,” terangnya.

Gambar hiasan

Salah satu inisiatif nasional kini adalah melatih 1,000 guru perakaunan dengan kelayakan ACCA, bermula dengan 30 guru di Pahang sebelum diperluas ke seluruh negara.

TYMBA Education Group, sebuah institusi terpantas di dunia mencapai status ACCA Platinum, menunjukkan hasil memberangsangkan dengan kadar lulus 83 peratus berbanding purata glo­bal 54 peratus, selain 100 peratus graduan memperoleh pekerjaan dalam tempoh 60 hari.

Pakar turut mencadangkan pengubahsuaian kurikulum dengan integrasi analitik dan ESG, memperkenalkan program pemecut pertengahan kerjaya serta mewujudkan rangka kompetensi nasional. 

Dalam pada itu, penyelidikan oleh Universiti Teknologi Malaysia menekankan kepentingan pembangunan profesional berterusan dalam bidang AI, blockchain dan analisis data kewangan dengan latihan fleksibel supaya profesional boleh meningkatkan kemahiran mengikut kadar sendiri.

Aspirasi ekonomi Malaysia, sama ada menjadi destinasi pelaburan patuh ESG, hab kewangan serantau atau ekonomi digital yang kompetitif, ia bergantung kepada modal insan yang mencukupi dari segi kualiti dan kuantiti.

Profesi perakaunan adalah tulang belakang kepada semua pelaporan kewangan dan pembuatan keputusan strategik. Automasi tidak mampu menggantikan pertimbangan profesional manusia.

Latihan 1,000 guru tahun ini mungkin kelihatan kecil, namun ia merupakan langkah kritikal.

Dalam profesion yang  mana 75 peratus akauntan awam dijangka bersara dalam tempoh 15 tahun, sementara perubahan teknologi bergerak lebih pantas daripada sistem pendidikan, intervensi tepat bukan sekadar wajar juga  perlu dilaksanakan segera.

Transformasi pendidikan Malaysia memerlukan visi dan pelaksanaan yang mana pelan pendidikan menyediakan visi tersebut, manakala inisiatif yang meningkatkan kemampuan guru secara berskala besar tanpa halangan kos menyediakan pelaksanaannya.

Langkah demi langkah, bilik darjah demi bilik darjah, laluan bakat perakaunan negara sedang diperbaiki dalam satu revolusi senyap yang amat penting untuk masa depan ekonomi Malaysia. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN