KUALA LUMPUR – Perkongsian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengenai anak istimewanya yang menghidap autisme meruntun emosi ramai.
Menerusi perkongsian terbaru, beliau menceritakan detik cemas apabila anaknya itu dilihat resah sebaik tiba di rumah, dipercayai kerana memikirkan sesuatu yang belum diselesaikan.
“Sampai di rumah, anak saya ini kelihatan resah. Begitulah anak berkeperluan khas, jika ada perkara yang mengganggu fikirannya, satu rumah dia boleh tawaf,” katanya hari ini.
Menurutnya, anak tersebut tidak berhenti bergerak, naik turun tangga serta mencari ahli keluarga lain dalam keadaan gelisah sebelum beliau tiba di rumah.
“Naik turun tangga rumah. Dari bilik ke dapur. Selepas seorang kakak, kakak yang lain pula dicarinya (tiga orang kakak). Termasuk adik bongsu. Sehinggalah saya sampai di rumah,” katanya.
Tambahnya, beliau namun memahami keadaan itu memerlukan perhatian segera agar anaknya kembali tenang dan mampu berfungsi seperti biasa.
Kata beliau, selepas diteliti keresahan itu rupa-rupanya berpunca daripada kebimbangan kerana belum menghafal surah al-Ma’un untuk satu majlis di sekolah.
Tanpa berlengah, Fadhlina berkata, beliau terus meluangkan masa membantu anaknya walaupun baru sahaja pulang ke rumah.
“Maka duduklah saya (betul-betul baru sampai rumah) dan memulakan proses tasmi’ bersama anak ini,” katanya.
Jelas beliau, usaha tersebut membuahkan hasil apabila anaknya itu berjaya menghafal surah berkenaan dalam tempoh kira-kira sejam.
“Alhamdulillah selepas satu jam, dia sudah boleh menghafal surah al-Maun. Sampai tutup-tutup mata dia menghafal. Punyalah serius,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa anak autistik sebenarnya mempunyai keistimewaan tersendiri yang wajar difahami oleh ibu bapa.
“Sebenarnya anak autistik mempunyai kelebihan bakat dan keupayaan yang luar biasa. Sebagai ibu bapa kita harus banyak membaca, bertanya dan belajar antara satu sama lain,” katanya.
Namun, bagi beliau, detik paling menyentuh hati adalah apabila anaknya itu meluahkan kata-kata penuh kasih sebaik selesai menghafal.
“Selepas habis menghafal, dia sangat gembira. “Mummy, syurga is under your feet”,” katanya.
Perkongsian itu diakhiri dengan luahan emosi beliau yang tidak mampu menahan sebak serta doa buat anak autistik itu.
“Maaf, mummy tidak boleh tahan (menitis air mata), Semoga Allah SWT memelihara anak kami, dunia akhirat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














