fbpx
PUTERI Aishah dan suami tersayang, Muhammad Firdaus bakal menyambut Syawal kali ini dengan penuh kesederhanaan. – ISKANDAR ISHAK

‘Ibu baru meninggal, raya saya biasa-biasa saja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WAKTU mungkin beredar tapi belum cukup untuk merawat luka di hati terutama sekali apabila kehilangan orang yang tersayang.

Sama seperti Puteri Aishah yang kehilangan ibu tercinta, Norita Sulaiman pada Januari lalu selepas sedekad bertarung dengan kanser rahim yang akhirnya merebak ke organ hati.

Menceritakan detik-detik hiba tersebut, pemilik nama penuh Puteri Aishah Sulaiman itu menyifatkan kualiti kesihatan ibunya mula merosot mendadak sejak Disember tahun lalu sehingga memaksa keluarga akur dengan ketentuan takdir.

“Mama sudah hampir 10 tahun menghidap kanser rahim dan yang terakhir ke hati. Sepanjang waktu itu ada masa okey, ada yang tidak.

“Bermula Disember lepas, keadaan dia sudah mula merosot. Sebelum mama pergi, sel kanser sudah merebak ke hati.

“Jadi, tidak boleh lagi nak teruskan rawatan kemoterapi, radioterapi atau sebarang rawatan utama sebab dia sudah tidak mampu. Kami sekeluarga pun buat keputusan untuk buat rawatan paliatif sahaja di rumah,” katanya kepada HibGlam seraya menahan sebak.

Antara perkara yang paling menghimpit hati pelakon filem Pulang itu adalah apabila dia tidak sempat berada di sisi saat ibunya menghembuskan nafas terakhir disebabkan komitmen kerja.

“Saya ada pada hari yang sama tapi saya pergi menjalani penggambaran. Saya sampai sahaja di set buat lebih kurang tiga babak.

“Kemudian saya dapat panggilan suruh balik segera. Saya balik tapi dalam perjalanan mama sudah tiada,” luahnya.

Ditanya alasan masih meneruskan kerja pada saat genting, Puteri enggan menyusahkan pihak produksi untuk menangguhkan penggambaran.

“Masa itu saya tinggal tiga hari sahaja lagi (habiskan penggambaran). Jadi saya fikir biarlah habiskan dan selepas itu saya nak jaga mama terus.

“Saya fikir kalau tambah cuti lagi tapi nanti menyusahkan orang lain. Jadi saya pilih habiskan tiga hari itu.

“Tapi Allah punya kuasa, saya tidak ada rezeki nak tengok nafas terakhir mama,” jelasnya.

Kehilangan tersebut turut dirasai suaminya, Muhammad Firdaus memandangkan hubungan mereka dengan Allahyarham sangat akrab dan mereka sering melancong bersama.

“Sebenarnya suami saya pun sangat rapat dengan mama saya. Mama ibu tunggal, jadi kalau kami pergi bercuti ke luar negara pun kami akan bawa mama sekali.

“Kadang-kadang duduk satu bilik hotel sekali sebab kami memang sangat rapat. Jadi setiap kali saya sedih, suami pun sedih sebenarnya.

“Sebab dia pun sayang mak saya, selalunya kami akan menangis bersama. Kami akan solat dan doakan mama,” tuturnya.

ANTARA penyesalan terbesar Puteri Aishah adalah tidak dapat bersama saat arwah ibunya menghembuskan nafas terakhir.

Tiada persediaan raya

Menjelang kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi, bekas peserta Dewi Remaja 2014/2015 mengakui sambutan tahun ini bakal hambar tanpa sebarang persiapan rapi memandangkan memori bersama arwah masih segar di ingatan.

“Tahun ini, saya tak buat persediaan sangat sebab memang tiada keputusan untuk beraya.

“Tapi saya beraya sahajalah cuma tak bersedia sangat. Biasa-biasa saja,” ujarnya.

Dia juga merancang untuk ke Negeri Sembilan selepas beraya dengan keluarga mentua di ibu kota bagi menemani adiknya yang masih bujang.

“Tahun ini beraya di Kuala Lumpur sahajalah dengan keluarga mentua. Selepas itu saya buat keputusan balik ke Port Dickson.

“Balik ke kampung mama untuk lawat kuburnya. Adik saya yang seorang itu masih bujang jadi saya nak teman dialah.

“Kasihan dia, rasa seorang diri tahun ini untuk pertama kalinya,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN