KUALA LUMPUR – Sikap sambil lewa segelintir peniaga yang gagal mematuhi peraturan paparan harga mengundang padah apabila seramai 26 individu dikenakan kompaun dalam Ops Embun yang dilaksanakan awal pagi tadi.
Operasi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) itu dijalankan di dua lokasi tumpuan utama iaitu Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Pudu, di sini.
Pengarah KPDN WPKL, Mohd. Sabri Seman berkata, seramai 55 anggota penguat kuasa digerakkan bagi menjalankan pemeriksaan ke atas peniaga di kedua-dua premis berkenaan yang menjadi pusat bekalan utama barangan keperluan harian di ibu negara.
Menurut beliau, operasi bermula pukul 3 pagi hingga 8 pagi itu dilaksanakan selaras dengan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2026 yang berkuat kuasa dari 14 hingga 28 Mac, melibatkan 27 barangan kawalan di seluruh negara dengan 23 daripadanya dikuatkuasakan di Kuala Lumpur.
“Selain Ops Embun, KPDN turut melaksanakan Ops Pantau bermula 19 Februari hingga 30 Mac bagi memastikan bekalan mencukupi serta harga kekal terkawal sepanjang Ramadan dan Aidilfitri,” katanya kepada media selepas operasi di sini hari ini.
Beliau berkata, lebih 2,000 premis telah diperiksa setakat ini, manakala operasi hari ini melibatkan 220 peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur dan 280 peniaga di Pasar Pudu.
“Hasil pemeriksaan, sebanyak 26 kes direkodkan membabitkan kesalahan gagal mempamerkan tanda harga, tidak menggunakan label merah jambu bagi barangan kawalan serta penggunaan alat timbang yang tidak ditentusahkan,” ujarnya.
Tambah beliau, kesemua kesalahan tersebut dikenakan kompaun serta-merta dengan jumlah keseluruhan RM5,800 dan bayaran dibuat di lokasi melalui sistem i-Payment.
Katanya, pihaknya memandang serius tindakan peniaga yang tidak mempamerkan harga kerana boleh mengelirukan pengguna.
“Kita tidak akan berkompromi. Bagi kesalahan berulang, tindakan lebih tegas termasuk pendakwaan di mahkamah akan diambil,” tegasnya.
Mengulas tahap pematuhan, beliau mengakui masih terdapat ruang penambahbaikan khususnya di pasar runcit dan operasi akan dipertingkatkan secara lebih kerap serta berfokus.
Beliau turut memberi jaminan bekalan barangan asas adalah mencukupi dan stabil selain tiada petunjuk kenaikan harga mendadak setakat ini.
“Pengguna digalakkan menjadi mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan aduan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang oleh peniaga,” katanya. – KOSMO! ONLINE














