GUA MUSANG – Seorang mudir sekolah tahfiz didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap murid lelaki berusia sembilan tahun selama tiga hari berturut-turut pada malam pertengahan bulan Ramadan lalu.
Tertuduh, Mohd. Razali Ab. Ghani, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri.
Lelaki itu didakwa melakukan amang seksual melibatkan kontak fizikal bagi maksud seksual tanpa persetubuhan terhadap mangsa berusia sembilan tahun tiga bulan di asrama dan bilik pejabat sekolah agama tahfiz, anak yatim dan miskin di Kampung Jerek Baru di sini pukul 11 malam pada 4, 5 dan 6 Mac lalu.
Mohd. Razali didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam. Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM30,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan tarikh 19 April ini untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar jaminan tersebut. – KOSMO! ONLINE













