PUTRAJAYA- Kementerian Pengangkutan (MoT) menambah lebih banyak bengkel pemasangan peranti had kelajuan (SLD) di seluruh negara bagi memastikan semua kenderaan berat mematuhi keperluan sistem keselamatan tersebut.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ketika ini, kira-kira 20 peratus kenderaan berat di negara ini dipasang dengan peranti SLD sejak sistem berkenaan diwajibkan pada Oktober tahun lalu.
Menurutnya, langkah itu juga bertujuan memudahkan pemilik kenderaan berat mendapatkan perkhidmatan pemasangan dan pengesahan sistem berkenaan.
“Kita memang sedang menambah lebih banyak bengkel untuk pemasangan SLD di seluruh negara dan senarai ini akan terus dikemas kini supaya memudahkan pemilik kenderaan.
“Kita faham pemasangan dan pengesahan SLD ini memerlukan rangkaian bengkel yang lebih luas,” katanya pada sidang media pengumuman garis panduan penggunaan kenderaan de-controlled dan pikap bagi membawa barangan, di sini, hari ini.
Anthony berkata, kementerian turut meminta pihak industri memandang serius arahan kerajaan berkaitan pemasangan peranti berkenaan yang bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya.
Menurutnya, operasi penguatkuasaan terhadap pematuhan pemasangan SLD telah dilaksanakan sejak Oktober tahun lalu.
Pada masa sama, katanya, terdapat syarikat pengeluar yang memohon tempoh tambahan bagi membantu proses pemasangan dan pengesahan peranti tersebut. – KOSMO! ONLINE














