TEKA-teki mengenai nasib Harimau Malaya bakal terjawab apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dijangka mengeluarkan keputusan audit mengenai isu pemalsuan dokumen di melibatkan pemain warisan hari ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM), Firdaus Mohamed berhadap tiada hukuman penggantungan dikenakan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) oleh AFC nanti.
Bagaimanapun, Firdaus berharap FAM selaku badan induk bola sepak tempatan perlu menerima dengan tangan terbuka apa sahaja hukuman yang diberikan supaya dapat membuka lembaran baharu pada masa akan datang.
“Tak tahu (sama ada kena hukuman atau tidak). Sebab yang tu (kita dengar) daripada pihak (luar).. bukan daripada FAM. Namun, (saya harap FAM) terima sahaja hukuman AFC nanti,” katanya ketika ditemui Kosmo!.
Sementara itu, Firdaus yang juga bekas Naib Presiden FAM masih berharap ada sinar positif supaya tidak menjejaskan perancangan yang telah dibuat oleh Persatuan Bola Sepak (FA) selaku ahli gabungan FAM.
“Kita nak tengok yang positiflah. Supaya program yang sepatutnya diadakan oleh mana-mana FA berjalan dengan baik. Jadi, kita harap sesuatu yang memberi kelebihan kepada FA negeri dan ahli gabungan. Yang kita risau, digantung sehingga kita tidak boleh nak buat program,” katanya.
Sebagai rekod, FIFA telah menjatuhkan hukuman kepada FAM dan tujuh pemain warisan negara yang digantung 12 bulan susulan isu pemalsuan dokumen pada September tahun lalu.
Susulan itu, AFC telah mengambil keputusan untuk campur tangan dalam aspek pentadbiran FAM sejak Januari lepas untuk membantu Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.














