fbpx
MAYAT seorang lelaki dijumpai di dalam longkang berhampiran rumahnya di Taman Menglembu Impiana Adril di Ipoh hari ini.

Tiada unsur jenayah kes mayat lelaki dalam longkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Pemeriksaan ke atas mayat remaja lelaki berusia 19 tahun yang ditemui dalam longkang di Taman Menglembu Impiana Adril di sini hari ini, tidak menemui kesan kecederaan akibat perbuatan jenayah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa juga tidak menemui sebarang tanda berlakunya pergelutan.

Katanya, proses bedah siasat ke atas mayat lelaki itu dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada pukul 3.30 petang tadi.

“Pihak polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat mangsa pada pukul 11.45 pagi.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di dalam longkang dengan kesan darah pada bahagian mulut.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan pergelutan atau unsur jenayah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik HRPB mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan di kepala disebabkan jatuh dari tempat tinggi.

Sehubungan itu katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, mayat mangsa yang merupakan seorang pelajar institusi pengajian tinggi itu ditemui dalam longkang yang terletak kira-kira 30 meter dari rumah keluarganya.

Mayat remaja itu dijumpai oleh seorang lelaki yang tinggal berhampiran lokasi kejadian ketika mahu memarkir kenderaan di kawasan teduh berhampiran longkang tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI