fbpx
Gambar hiasan.

Lelaki pecah masuk kuil diberkas, ada 13 rekod jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kejadian pecah masuk dan kecurian di sebuah kuil di Taman Maluri, di sini semalam membabitkan kerugian kira-kira RM30,000.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian di Kuil Sri Kamatchi Aman kira-kira pukul 6.55 petang sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Cheras menjalankan operasi mengesan suspek.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan lelaki tempatan berusia 32 tahun di kawasan Taman Maluri serta merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, antara barangan yang dilaporkan hilang termasuk arca gangsa, gada diperbuat daripada perak tulen bersalut emas, lampu pelita gantung daripada gangsa serta beberapa barangan lain.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai 13 rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” ujarnya.

Tambah beliau, suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 21 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN