fbpx
Wan Nur Ibtisam (tengah) semasa melawat Jambatan Wan Jamilah pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Jambatan di Kampung Chatel Damai, Kuala Krai hari ini.

Jambatan baharu ganti titi runtuh masa kenduri siap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA KRAI – Penduduk Kampung Chatel Damai di sini dapat menggunakan jambatan baharu bagi menggantikan titi gantung yang runtuh pada awal Januari lalu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini selepas kemudahan tersebut boleh digunakan secara rasmi bermula hari ini.

Jambatan sepanjang 36 meter itu boleh dilalui kenderaan bawah lima tan sekali gus memudahkan urusan harian penduduk, khususnya pemilik kebun untuk mengangkut hasil pertanian keluar dari kampung.

Kemudahan itu dinamakan Jambatan Wan Jamilah sempena nama pengantin perempuan, Wan Jamilah Wan Syukri apabila lebih 50 tetamu termasuk rombongan pengantin lelaki yang hadir ke majlis perkahwinannya berdepan detik cemas selepas mereka terjatuh ke dalam sungai apabila titi gantung runtuh.

Wakil penduduk, Wan Syukri Wan Isa, 53, berkata, jambatan tersebut yang boleh digunakan secara rasmi bermula hari ini dan ia merupakan hadiah paling bermakna daripada pihak kerajaan kepada penduduk sempena Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, jambatan itu turut memudahkan masyarakat setempat selepas sekian lama terpaksa menggunakan titi gantung uzur dan berisiko yang berusia lebih 24 tahun.

“Penduduk di sini sudah lama mahukan jambatan baharu. Saya juga tidak menyangka peristiwa titi gantung yang runtuh ketika majlis pernikahan anak akhirnya membawa rezeki kepada seluruh penduduk kampung apabila kerajaan meluluskan pembinaan jambatan baharu.

“Jambatan itu boleh dilalui oleh kereta sekali gus memudahkan urusan penduduk untuk berulang-alik keluar dan masuk ke kampung,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Jambatan yang disempurnakan oleh Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Kelantan, Dr. Wan Nur Ibtisam Wan Ismail di Kampung Chatel Damai di sini hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Wan Muhd. Rahimi Wan Salleh dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Dr. Siti Fairus Zakaria.

Mengulas lanjut, Wan Syukri memberitahu, jambatan baharu itu juga memudahkan anak-anak dan cucu pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman dengan selamat tanpa perlu melalui titi gantung yang berbahaya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI