fbpx
BHUTAN

5 negara tiada lampu isyarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAMPU isyarat jalan raya (traffic lights) sangat penting dalam mengawal lalu lintas terutama di kawasan yang padat dengan kenderaan dan jalan-jalan besar bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta melancarkan laluan trafik.

Walaupun lampu isyarat sudah digunakan di seluruh dunia, namun ada beberapa negara yang masih menggunakan kawalan trafik secara tradisional seperti papan tanda isyarat, bulatan dan tenaga manusia untuk mengawal trafik.

Sehubungan itu, pada minggu ini CitaRasa kongsikan lima negara di dunia yang tidak mempunyai lampu isyarat trafik seperti dilaporkan oleh portal Wion.

1- Bhutan

PADA tahun 1995, sistem lampu isyarat telah dicuba tetapi penduduk Bhutan lebih menyukai sentuhan peribadi pegawai polis trafik di pondok atau gazebo dengan memberi isyarat tangan kepada kereta yang lalu di persimpangan. Sehubungan itu, sehingga kini Bhutan masih mengekalkan jalan raya tanpa lampu isyarat.

Bhutan mementingkan keharmonian, penghormatan dan kemampanan alam sekitar, jadi jalan raya diurus dengan bulatan dan pemanduan berhati-hati, bukannya isyarat. Sekali gus, mencerminkan falsafah Kebahagiaan Negara Kasar (Gross National Happiness).

2- Kiribati

NEGARA kepulauan Pasifik ini mempraktikkan pemanduan yang sopan dan papan tanda, bukannya lampu isyarat. Pemanduan yang santai, bilangan kenderaan yang sedikit dan nilai komuniti yang erat menjadikan lampu isyarat tidak diperlukan. Keselamatan jalan raya datang daripada saling menghormati dan adat resam tradisional.

Populasi penduduk di Kiribati seramai 119,000 orang. Pulau-pulau dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu Kepulauan Gilbert, Kepulauan Phoenix dan Kepulauan Line. Ekonomi negara ini bergantung kepada pelancongan, perikanan dan juga nilai sejarah.

3- Palau

SETERUSNYA, Palau, sebuah negara kepulauan kecil, memastikan lalu lintas mudah dengan meminimumkan jalan raya. Di sini, pengurusan lalu lintas alternatif adalah menggunakan papan tanda dan komunikasi langsung antara pengguna jalan raya, sekali gus mengelakkan keperluan lampu automatik. Negara kecil di pulau Pasifik ini berdepan ancaman perubahan iklim dengan peningkatan paras laut berpotensi menenggelamkannya dalam beberapa dekad akan datang.

Ia banyak terlibat dalam hal ehwal serantau Pasifik dan bersedia menjadi tuan rumah perbincangan iklim utama menjelang Persidangan Pihak-Pihak Ke-31 (COP31).

4- Vatican City

JALAN-JALAN di Vatican City kebanyakannya dikelilingi oleh kawasan pejalan kaki dan penghadang, ia tidak memerlukan lampu isyarat. Kebanyakan pergerakan berlaku dengan berjalan kaki, manakala ada beberapa kenderaan sahaja. Papan tanda dan penghadang ‘membimbing’ pemandu untuk memastikan keselamatan.

Vatican City ialah negara bangsa merdeka terkecil di dunia, sebuah enklaf terkurung daratan yang dikelilingi sepenuhnya oleh Rom, Itali. Bermula awal 2026, ia ditadbir oleh Pope Leo XIV yang berkhidmat sebagai ketua berdaulat bagi monarki elektif mutlak dan pemimpin rohani Gereja Roman Katolik.

5- Liechtenstein

DENGAN populasi yang kecil dan trafik yang rendah, Liechtenstein menguruskan jalan raya dengan bulatan dan papan tanda berhenti. Menurut laporan, negara ini lebih bergantung pada nilai bertimbang rasa dan peraturan mudah daripada kawalan trafik elektronik. Pemandu memperlahankan kenderaan untuk pejalan kaki melintas jalan dan polis kadangkala campur tangan untuk acara yang sibuk.

Ia sebuah negara berdaulat yang merdeka terletak di tengah-tengah Eropah (terkurung daratan) antara Switzerland dan Austria. Ia salah satu negara terkecil di dunia dengan keluasan 160 kilometer persegi dan populasi kira-kira 39,000 orang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI