PETALING JAYA – Seramai 400 penduduk kurang bernasib baik di Parlimen Nibong Tebal menerima sumbangan Aidilfitri dalam usaha membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya yang bakal tiba.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Aidilfitri Parlimen Nibong Tebal di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal hari ini.
Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal dalam kenyataan memaklumkan, para penerima menerima sumbangan berbentuk baucar pasar raya C-Mart bagi membantu mereka mendapatkan keperluan asas.
Sementara itu, Fadhlina berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian usaha berterusan bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasan Parlimen berkenaan sentiasa terbela, khususnya golongan yang memerlukan.
“Pelbagai bentuk bantuan disediakan
demi rakyat di Nibong Tebal termasuk persiapan persekolahan anak-anak dan bagi menghadapi semua perayaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan sentiasa berusaha memastikan bantuan yang diberikan sampai kepada golongan sasar, terutama dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
“Dalam menghadapi ketidaktentuan global akibat krisis berterusan di Asia Barat, Kerajaan Madani sentiasa berikhtiar memastikan sumber negara digunakan secara optimum dan bantuan terbaik dapat diberikan secara bersasar untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal turut merancang untuk mengagihkan sumbangan barang mentah makanan kepada penduduk setempat menjelang sambutan Aidilfitri pada minggu hadapan. – KOSMO! ONLINE














