GEORGE TOWN – Seorang remaja mengalami kecederaan pada anggota badan selepas motosikal yang dia tunggang dikatakan hilang kawalan lalu tercampak ke dalam longkang di Jalan Sungai Pinang di sini, malam tadi.
Mangsa berusia 19 tahun itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 11.41 malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, operasi menyelamat mangsa kemalangan melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak.
“Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y16 yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.Mangsa telah tercampak ke dalam longkang berhampiran dan mengalami kecederaan pada seluruh anggota badan.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menjalankan kerja-kerja penyelamatan dan berjaya mengangkat mangsa ke atas permukaan selamat,” katanya di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke Hospital Pulau Pinang dengan ambulans. Operasi menyelamat mangsa kemalangan tamat sepenuhnya pada pukul 12 tengah malam. -KOSMO! ONLINE














