GEORGE TOWN – Kawalan keselamatan di perairan Pulau Pinang dipertingkatkan menerusi Op Khas Pagar Laut yang dilaksanakan Maritim Malaysia sempena musim perayaan Aidilfitri bermula 21 Mac hingga 3 April ini.
Pengarah Maritim negeri, Mohd Suffi Mohd. Ramli berkata, setakat ini pihaknya belum mengesan aktiviti mencurigakan namun, kemuncak kegiatan jenayah rentas sempadan itu dipercayai berlaku pada hari raya dan sepanjang minggu perayaan nanti.
“Ini kerana ada pihak yang mungkin sangka anggota penguat kuasa bercuti sempena Aidilfitri. Tanggapan itu silap kerana pemantauan dan penguatkuasaan tetap dijalankan seperti biasa,” katanya kepada pemberita di sini.
Terdahulu, pengamal media Pulau Pinang turut dibawa menyertai rondaan operasi bersama pasukan Maritim Malaysia sebelum berbuka puasa atas kapal KM Sikuati petang semalam.
Sepanjang lima tahun pelaksanaan Op Pagar Laut sejak 2020, sebanyak 21 kes tangkapan direkodkan membabitkan rampasan RM179,175. Operasi itu dilakukan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin, membanteras aktiviti penyeludupan bunga api, mercun dan barangan kawalan melalui laluan laut. – KOSMO! ONLINE














