KANGAR – Persiapan sebuah keluarga untuk meniaga di bazar Ramadan bertukar detik cemas apabila tiga buah rumah di Kampung Kota, di sini, hangus terbakar dalam kejadian yang berlaku pada pagi tadi.
Salah seorang anak mangsa, Nazima Abd Latif, 42, berkata, ketika kejadian terdapat tujuh orang berada di rumah tersebut termasuk ibunya yang sedang memasak dan membuat persediaan untuk meniaga di bazar Ramadan.
Menurutnya, ibunya terdengar jeritan orang ramai di luar rumah sebelum menyedari api sedang marak membakar rumah jiran mereka.
“Semua di dalam rumah itu kemudiannya melarikan diri apabila api mula merebak dan membakar bahagian tepi rumah sehingga menyebabkan sistem pendawaian rumah meletup,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kangar, Hairi Rahim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10.42 pagi dan setibanya di lokasi, mendapati kebakaran tersebut melibatkan dua buah rumah kelas B dan sebuah rumah kelas C.
“Kebakaran itu juga menyebabkan ketiga-tiga buah rumah hangus terbakar 100 peratus namun tiada mangsa dilaporkan cedera,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.
Hairi berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira setengah jam bagi mengawal api kebakaran daripada terus merebak ke kediaman lain. – KOSMO! ONLINE














