KEMAMAN – Penduduk Kampung Gong Limau, Chukai, di sini yang baru bangun tidur untuk bersahur pagi ini dikejutkan dengan bunyi letupan kuat disebabkan kebakaran sebuah kabin simpanan serta kanopi jualan bunga api.
Kebakaran pada pukul 4.15 pagi itu memusnahkan 100 peratus kanopi jualan bunga api tersebut manakala kabin penyimpanannya pula hangus kira-kira 50 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, sepasukan 22 anggota bomba telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kebakaran berkenaan.
“Kami sedaya upaya memadamkan kebakaran bagi memastikannya tidak merebak ke premis berdekatan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Mohamad Hanif berkata, kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 19 minit sebelum dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5.10 pagi.
Beliau berkata, kejadian tersebuy tidak menyebabkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa. – KOSMO! ONLINE














