PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menganggap kejayaan layak ke suku akhir saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) sebagai permulaan baharu kepada sejarah kelab itu dan bola sepak Malaysia.
Pada aksi kedua pusingan 16 terbaik menentang Sanfrecce Hiroshima kelmarin, wakil negara itu tewas 0-1, namun ia sudah cukup untuk membantu mereka layak dengan agregat 3-2 selepas meraih kemenangan 3-1 pada aksi pertama di Stadium Sultan Ibrahim sebelum ini.
Munoz menyifatkan pencapaian muncul antara lapan kelab terbaik di Asia adalah hasil yang diperoleh selepas seluruh pasukan bekerja keras untuk mengatasi segala cabaran.
Katanya, kejayaan itu tidak hanya berkisar kepada kerja keras pasukan sebaliknya sokongan daripada Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik kelab menjadi antara faktor penting dalam misi kelab layak lebih jauh.
“Perlawanan yang sukar. Seperti yang kita jangkakan, mereka memiliki kepakaran dalam situasi bola mati, namun paling penting kami dapat kekalkan intensiti dan yakin dengan apa kami lakukan.
“Pada akhirnya, perkara terpenting juga adalah mencipta sejarah dan ini adalah perkara positif. Banyak lagi yang kami boleh baiki,” katanya.
Tidak hanya melakar sejarah pasukan Malaysia pertama mara ke peringkat suku akhir kejayaan itu menyaksikan kantung Harimau Selatan juga makin tebal apabila bakal menerima tambahan wang $400,000 (kira-kira RM1.57 juta).
Skuad Harimau Selatan itu sebelum ini menerima $800,000 (RM3.1 juta) sebagai bayaran beraksi di peringkat liga sebelum menerima tambahan $200,000 (RM783,196) selepas mara ke pusingan ke-16.
Setakat ini mereka sudah mengumpul keseluruhan $1.8 juta (RM7.04 juta) keseluruhan termasuk beberapa bayaran bonus melibatkan kemenangan dalam perlawanan.
Pada saingan musim lalu, Harimau Selatan turut muncul pasukan pertama dari Malaysia yang mampu melepasi saingan awal untuk layak ke aksi kalah mati sebelum tewas tipis 0-1 kepada kelab Thailand, Buriram United.
Sekiranya mampu untuk terus mencipta sensasi layak lebih jauh, peminat bola sepak tempatan pastinya berpeluang untuk melihat perhitungan JDT dengan kelab gergasi dari negara Arab yang dibarisi beberapa bintang berkelas dunia.
“Pemain sudah berikan segala-galanya, begitu juga dengan kakitangan lain dalam pasukan. Ia musim yang mencabar apabila kami banyak mengembara tetapi sekarang cukup teruja dengan kejayaan ini,” kata Munoz.














