fbpx
Aedly Fadly ketika sidang akhbar di Terminal Bas Seksyen 17 Shah Alam malam ini. FOTO: AFIQ RAZALI

288 ‘hot spot’ kemalangan dipantau sepanjang Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenal pasti sebanyak 288 lokasi ‘hot spot’ kemalangan jalan raya di seluruh negara yang akan diberi tumpuan sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, rondaan akan dipertingkatkan di kebanyakan lokasi berkenaan selain penempatan anggota bagi memastikan kehadiran pihak penguat kuasa sentiasa ada di kawasan berisiko.

Katanya, semua kenderaan penguat kuasa JPJ akan dikerahkan berada di jalan raya sepanjang tempoh perayaan bagi memantau keadaan lalu lintas.

“Saya telah arahkan semua kenderaan penguat kuasa JPJ berada di atas jalan raya sepanjang musim perayaan Aidilfitri. Tiada satu pun akan berada di pejabat,” katanya pada sidang akhbar program Ihya Ramadan Akrab JPJ dan Komuniti di Terminal Bas Seksyen 17 di sini, malam ini.

Beliau berkata, pemasangan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) juga banyak membantu meningkatkan pematuhan pengguna jalan raya sekali gus mengurangkan kadar kemalangan, termasuk di kawasan Terowong Menora, Perak.

Menurutnya, JPJ turut mempergiatkan Operasi Hari Raya Aidilfitri selama dua minggu bermula hari ini dengan melibatkan hampir 3,000 anggota di seluruh negara.

“Operasi ini memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama termasuk tidak mematuhi had laju, melanggar isyarat lalu lintas termasuk lampu merah, memotong di garisan berkembar, membawa lebihan muatan serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” katanya.

Tambah beliau, pemeriksaan mengejut di terminal bas selain penyamaran anggota dalam bas ekspres akan terus dilaksanakan bagi memastikan tahap keselamatan penumpang sentiasa terjamin.

“Malah, larangan pemanduan kenderaan barangan juga akan dikuatkuasakan selama empat hari iaitu pada 19 dan 20 Mac serta 28 dan 29 Mac ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI