fbpx
Rosland (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini.

Suami Miera Liyana didakwa pernyataan palsu pada Bursa Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bekas pengarah Sarawak Consolidated Industries Berhad, Rosland Othman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan pernyataan palsu berhubung hal ehwal syarikat diberikan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) lima tahun lalu.

Bagaimanapun Rosland Othman, 53, yang juga suami kepada pelakon Miera Liyana itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, Rosland didakwa sebagai pengarah Sarawak Consolidated Industries Berhad pada masa kejadian, telah menyebabkan pernyataan palsu diberikan kepada Bursa Malaysia, di mana pernyataan tersebut terkandung dalam “Interim Financial Report on Consolidated Results for the Quarter Ended 30 June 2021”.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bursa Malaysia, Exchange Square, Bukit Kewangan, di sini, pada 30 September 2021 mengikut Perenggan 369(b)(B) dibaca bersama subseksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum di bawah seksyen 369 akta sama.

Hukuman bagi perenggan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak lebih RM3 juta.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Hashley Tajudin tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan tersebut merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

“Bagaimanapun, jika mahkamah ingin menggunakan budi bicaranya, pendakwaan menawarkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke ibu pejabat Suruhanjaya Sekuriti sebulan sekali sehingga kes selesai,” katanya.

Bagaimanapun peguam S. Shastidaran yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung tujuh anak.

“Anak guam yang telah diisytihar sebagai muflis pada 2023 juga menghidap penyakit kencing manis, glaucoma serta masalah saraf. Ini juga merupakan kesalahan kali pertamanya. Sepanjang siasatan tertuduh juga telah memberikan kerjasama baik,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Mei ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN