KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 34,000 kilogram (kg) mercun pelbagai jenis bernilai RM500,000, baru-baru ini.
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, kejayaan itu hasil Ops Petasan dengan operasi pertama dilakukan terhadap sebuah gudang di Puncak Alam, Kuala Selangor pada 12 Januari lalu.
Katanya, menerusi serbuan itu berjaya rampas 21,936 kg mercun yang dipercayai diimport daripada negara China.
“Sejumlah 13,166.5 kg mercun berjaya dirampas selang 14 hari kemudian dalam sebuah kontena di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat. Mercun itu dipercayai ingin dieksport ke sebuah negara di Asia,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, antara jenis mercun dirampas termasuk jenis kek, papan dan bola yang dijual pada harga RM3 hingga RM200 seunit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) dan Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE














