KUALA LUMPUR – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hak wanita termasuk sebuah parti politik bakal berdepan laporan polis selepas didakwa menghina agama Islam dan mempromosi gaya hidup songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam himpunan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, laporan itu akan dibuat dalam masa terdekat bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat.
Menurutnya, tindakan memaparkan sepanduk yang didakwa menghina agama Islam serta mempromosikan gaya hidup songsang ketika himpunan di sebuah kompleks membeli-belah di ibu negara itu tidak boleh diterima di negara ini.
“Rakyat Malaysia perlu faham kita hidup di negara ini dan tertakluk kepada Perlembagaan.
“Adakah kita mahu menerima pandangan atau cara hidup tertentu yang bertentangan dengan pegangan masyarakat kita? Perkara-perkara pelik seperti mempromosi LGBT ini tidak sepatutnya diterima,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PPIM di sini hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Muafakat Nasional (MN), Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang didakwa membawa budaya asing ke dalam masyarakat negara ini.
Menurutnya, pihak berkuasa perlu melihat isu tersebut secara serius kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat tempatan.
“Kenapa ada segelintir pihak membawa budaya asing seperti ini ke dalam masyarakat kita dan ia tidak dianggap sensitif?
“Apabila perkara tidak betul dibenarkan dan perkara betul tidak dibenarkan, ia boleh membawa kepada kerosakan tamadun,” katanya.-KOSMO! ONLINE.














