KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM749.5 juta bagi tahun kewangan 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan institusi tersebut dalam mengurus simpanan anggota tentera.
Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md. Radzi berkata, jumlah pendapatan boleh diagihkan pula direkodkan sebanyak RM541.5 juta hasil disiplin pelaburan yang konsisten serta pengukuhan amalan tadbir urus dalam organisasi.
Menurutnya, pencapaian tersebut diperoleh walaupun berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar termasuk ketidaktentuan geopolitik, tekanan inflasi serta turun naik pasaran kewangan.
“Berbekalkan disiplin pelaburan yang konsisten serta pelaksanaan agenda transformasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, LTAT berjaya mengekalkan kedudukan kewangan yang utuh,” katanya pada Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2025 di Royale Chulan, Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, LTAT turut memperkukuh dana rizab kepada RM1.3 bilion pada 2025 berbanding RM1.0 bilion pada tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan disiplin kewangan serta usaha berterusan memperkukuh daya tahan dana.
Menurutnya, peningkatan tersebut penting bagi memastikan simpanan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus berkembang dan mampu menjamin kesejahteraan mereka serta keluarga selepas tamat perkhidmatan.
Dalam usaha memperkasa masa depan institusi itu, LTAT kini melaksanakan pelan strategik baharu dikenali sebagai GEMPUR30 yang memberi tumpuan kepada pengukuhan portfolio pelaburan dan pertumbuhan syarikat strategik dalam kumpulan.
Tambahnya, melalui Boustead Holdings Berhad, LTAT akan memberi fokus kepada sektor industri pertahanan selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara serta pembangunan hartanah yang melibatkan Kementerian Pertahanan.
Dalam masa sama, sektor farmaseutikal turut diberi perhatian termasuk pemulihan prestasi Pharmaniaga Berhad yang kini menunjukkan perkembangan positif dan berada di landasan kukuh untuk keluar daripada status PN17 dalam masa terdekat.
Menurut Mohammad Ashraf, LTAT juga komited melangkaui pulangan pelaburan semata-mata dengan melaksanakan pelbagai inisiatif literasi kewangan yang telah memberi manfaat kepada lebih 50,000 anggota ATM sepanjang tahun lalu.- KOSMO! ONLINE














