PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan angin kencang di 12 negeri hingga pukul 7 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, antara negeri yang terlibat di Semenanjung adalah Kedah (Kulim dan Bandar Baharu), Perak (Larut, Matang Dan Selama, Batang Padang dan Muallim) dan Pahang (Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin).
Turut terlibat di Selangor (Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang), seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Amaran juga melibatkan beberapa daerah di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Johor Bahru).
“Bagi Sarawak, cuaca buruk di jangka berlaku di Sri Aman, Betong (Pusa, Betong dan Saratok), Sarikei, Sibu (Kanowit), Kapit (Song, Kapit dan Bukit Mabong) dan Miri (Telang Usan),” katanya.
Manakala di Sabah, amaran hujan lebat dijangka di Pedalaman (Sipitang, Tenom dan Nabawan) dan Tawau (Tawau, Kunak dan Lahad Datu).
MetMalaysia memaklumkan, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berterusan melebihi satu jam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














