fbpx
HAKIM Danish membuat ‘kerja rumah’ lebih awal menjelang aksi GP Brazil dengan melakukan kajian mengenai Litar Antarabangsa Ayrton Senna. - FB ZK RACING

Hakim Danish mula kaji litar Brazil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANTUAN rakaman video menerusi YouTube bakal menjadi ‘senjata’ utama buat Hakim Danish Ramli bagi mendapatkan gambaran awal mengenai karakter litar baharu di Grand Prix (GP) Brazil yang berlangsung dari 20 hingga 23 Mac ini nanti.

Hakim Danish mengakui memandangkan Litar Antarabangsa Ayrton Senna, Goiania berkenaan masih asing bagi semua pelumba, dia mengambil inisiatif meneliti visual litar bagi memahami karakter litar sebelum turun beraksi di litar sepanjang 3.835 kilometer tersebut.

Menurut pelumba berusia 18 tahun itu, kajian awal menerusi video di YouTube dan juga Instagram membolehkannya mendapatkan gambaran mengenai keadaan litar serta corak selekoh yang bakal dihadapinya.

“Untuk pusingan di Brazil nanti, ia adalah litar baharu untuk semua orang. Jadi, saya banyak melakukan kajian menerusi video di YouTube dan di Instagram untuk mendapatkan gambaran awal.

“Menerusi video itu, saya dapat mengkaji karakter litar dan setakat ini saya lihat treknya agak baik. Saya harap kajian awal ini dapat membantu saya memburu keputusan yang cemerlang di sana nanti,” katanya Majlis Berbuka Puasa Media bersama Kumpulan MKA di Putrajaya, kelmarin.

Dalam perkembangan sama, pelumba kelahiran Terengganu itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperkemaskan teknik tunggangan serta melakukan pelarasan jentera bagi memastikan dia mampu tampil lebih kompetitif berbanding aksi pada pusingan pertama di Thailand.

Katanya, dia mahu serasi lebih awal bermula sesi latihan pertama teruama meneliti aspek pengendalian casis serta brek di selekoh bagi memastikan jentera miliknya mampu bertindak balas dengan baik mengikut karakter litar di Brazil itu nanti.

Dalam pada itu, mengulas mengenai desas-desus litar berkenaan yang dikatakan belum siap sepenuhnya, Hakim Danish memilih untuk tidak terlalu memikirkan perkara tersebut.

“Saya ada dengar khabar angin itu, tetapi setakat ini belum ada pengesahan rasmi. Saya hanya mengikut perkembangan daripada pihak penganjur dan setakat ini perjalanan masih diteruskan seperti biasa,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN