KUALA LUMPUR – Megaklinik Dr Suffian (MKDS) menjalinkan kerjasama dengan teknologi Garmin bagi mengintegrasi protokol rawatan perubatan dalam penurunan berat badan pesakitnya.
Pengarah Urusannya, Dr Suffian Sani Sayuti berkata, kolaborasi itu menjadikan MKDS muncul antara klinik pertama di Malaysia di dalam penghasilan sistem navigasi.
Sistem itu katanya akan mengukur tahap tenaga harian pesakit dan mengenal pasti corak tekanan yang menjejaskan kesihatan.
“Selain itu, teknologi itu akan menilai sistem saraf autonomi pesakit dan mengukur kualiti tidur untuk rawatan lebih holistik.
“Melalui data ini, MKDS dapat membangunkan protokol rawatan yang lebih peribadi, saintifik dan berkesan, sekali gus membezakan klinik ini daripada pusat rawatan konvensional,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Dr Suffian berkata, pihaknya turut berkolaborasi dengan Garmin dalam menganjurkan Cabaran Kecergasan MKDN Bulanan dengan menawarkan jam tangan pintar percuma keluaran syarikat multinasional itu kepada kakitangannya yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.
“Kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan dan diperkukuhkan sepanjang tahun 2026 dengan lebih banyak inisiatif dan program bermanfaat pada masa akan datang,” katanya.-KOSMO! ONLINE














