WELLINGTON – Syarikat penerbangan nasional New Zealand akan membatalkan 1,100 penerbangan dalam tempoh dua bulan akan datang, merujuk kepada impak perang di Asia Barat.
Ketua Pegawai Eksekutif Air New Zealand, Nikhil Ravishankar berkata, sekitar lima peratus daripada keseluruhan penerbangannya akan dibatalkan, menjejaskan 44,000 penumpang.
Penerbangan terbabit kebanyakannya laluan domestik di New Zealand, tetapi turut termasuk sebilangan penerbangan antarabangsa, katanya.
Penerbangan antara New Zealand dan Amerika Syarikat bagaimanapun tidak terjejas kerana permintaan untuk laluan alternatif ke Eropah yang meningkat, tambah Ravishankar.
“Disebabkan turun naik harga bahan api jet ekoran konflik Asia Barat, syarikat penerbangan seluruh dunia sedang melaraskan tambang dan jadual masing-masing untuk membantu menguruskan kesan peningkatan kos yang ketara,” kata Ravishankar.
Menurutnya, bahan api jet biasanya berharga kira-kira AS$85 setong (RM334) tetapi harga kini meningkat dua kali ganda.
Pembatalan itu bagi memastikan penerbangan kekal semurah mungkin dan Air New Zealand cekap menggunakan bahan api, tambah Ravishankar.
Selasa lepas, Air New Zealand menaikkan harga tiket untuk semua laluan. – AFP














