PETALING JAYA – Seramai 9,497 warga asing ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk masuk sebagai pelancong ke negara ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penahanan itu dibuat bermula 1 Januari hingga Isnin lalu menerusi 2,618 operasi yang telah dilaksanakan di seluruh negara dan kebanyakan warga asing tersebut bekerja di restoran dan kilang.
Katanya, lima warganegara tertinggi yang ditahan bagi kesalahan melanggar syarat pas adalah Bangladesh seramai 532 orang, diikuti Thailand (248), Indonesia (111), China (86) dan Pakistan (51).
Daripada 1,158 tangkapan ini, 482 individu ditangkap atas kesalahan menyalahguna Pas Lawatan Sosial meliputi 235 orang warganegara Thailand, Bangladesh (83), China (62, Indonesia (62) Pakistan (13) serta lain-lain (27).
“Siasatan awal mendapati sebahagian daripada mereka terlibat secara aktif dalam pengurusan dan pengendalian premis perniagaan tanpa kebenaran yang sah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 1,158 individu ditahan bagi kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas.
“Kebanyakan daripada mereka didapati menyalahgunakan kemudahan pas yang diberikan, khususnya melibatkan Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Lawatan Sosial bagi tujuan menjalankan aktiviti yang tidak selaras dengan syarat pas yang dikeluarkan.
“Perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat-syarat pas yang telah ditetapkan,”katanya.
Ujarnya, tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dan tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana warga asing yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara.
“Individu yang didapati melanggar undang-undang imigresen boleh dikenakan tindakan termasuk penahanan, pendakwaan serta pengusiran dari Malaysia.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti warga asing yang menjalankan perniagaan secara tidak sah digalakkan untuk menyalurkan maklumat kepada Jabatan Imigresen bagi membantu usaha penguatkuasaan yang lebih berkesan,” katanya.-KOSMO! ONLINE














