fbpx
MUHAMAD Azrizal (kiri) dan abangnya, Muhamad Asyraf (kanan) melihat keadaan rumah mereka yang musnah dalam kebakaran di Kampung Kepayang, Ipoh semalam.

Persiapan raya, kahwin musnah dalam kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang lelaki hanya mampu pasrah apabila semua persiapan Aidilfitri dan perkahwinannya hangus sekelip mata dalam kebakaran yang memusnahkan rumah keluarganya di Kampung Kepayang semalam.

Muhamad Azrizal Abas, 27, berkata, kejadian yang berlaku pada pukul 4.49 petang itu disedarinya selepas terhidu bau hangit sebelum melihat kepulan asap yang datang dari rumah jiran yang menyewa di sebelah kediaman keluarganya.

Katanya, cemas dengan situasi itu, dia segera membawa ibunya ke tempat selamat sebelum membuka pintu rumah jiran dan melihat api menjulang tinggi dari ruang dapur.

“Saya tak sempat buat apa-apa, walaupun ambil paip air untuk padamkan kebakaran, api sudah marak dengan cepat. Saya hanya sempat menyelamatkan apa yang terdekat sahaja.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dengan tiga hingga empat letupan kedengaran sepanjang kebakaran,” katanya ketika ditemui di tapak kediaman keluarganya di sini hari ini.

Menurut Muhamad Azrizal yang bertugas sebagai pembantu am di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), kira-kira sejam sebelum tragedi itu, dia sempat menunjukkan kepada ibunya sehelai baju Melayu berwarna ungu.

Katanya, pakaian raya itu bagaimana musnah selepas almari yang menempatkannya hangus terbakar.

“Baju raya itu baru sampai petang semalam, saya sempat tunjuk pada mak dan ambil gambar untuk hantar ke dalam kumpulan sembang keluarga sebelum menggantungnya di pintu almari.

“Sekarang, sehelai baju pun tiada kerana hangus terbakar. Lebih menyedihkan lagi apabila barang-barang hantaran untuk tunang seperti telekung, sejadah, jam dan kasut turut musnah.

“Saya kumpul barang-barang hantaran itu sejak setahun lalu dan sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 25 Julai depan,” katanya.

Tambah Muhamad Azrizal, kebakaran itu turut memusnahkan tempahan kuih raya yang diusahakan ibunya, dengan hanya beberapa pelanggan sempat mengambilnya sebelum semuanya hangus.

“Tempahan biskut raya memang banyak dan macam-macam jenis, yang sempat ambil pun baru dua orang. Memang rugi banyak kerana semua biskut hangus dan rosak,” katanya.

Kebakaran tersebut turut memusnahkan sebuah kereta jenis Proton Exora dan Perodua Kancil serta lima motosikal milik dua keluarga berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN