KUALA LUMPUR – Pelakon dan penerbit, Datuk A. Aida mendedahkan antara asbab dia memutuskan untuk berhijab apabila dinasihatkan oleh Ustaz Izhar Ariff selepas tersedar daripada ditidurkan akibat komplikasi pembedahan lutut pada September tahun lalu.
A. Aida, 56, berkata, doktor memaklumkan kepada ahli keluarganya pada ketika itu harapannya untuk sembuh mungkin tiada.
“Ketika saya berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), doktor maklumkan kepada keluarga minta buat solat hajat dan bacaan yasin sebab katanya saya tiada peluang lagi.
“Kalau hidup pun, kemungkinan saya akan jadi seperti ‘sayur’ dan tak akan ingat apa-apa.
“Kemudian bila sedar, saya nampak Ustaz Izhar dan ayat pertamanya, minta saya pakai tudung.
“Hati saya terus dijentik dan saya putuskan untuk bertudung. Sepanjang sebulan proses pemulihan, kata-kata ustaz itu bermain dalam fikiran,” katanya ketika ditemui pada program rakaman Melodi Raya 2026, di sini, semalam.
Ujarnya, pertanyaan ringkas daripada anaknya keduanya, Azeva sekitar seminggu sebelum Ramadan lalu yang membuatkan dirinya mula berfikir untuk menutup aurat dengan sempurna.
“Hal lain yang membuatkan hati saya lebih kuat untuk berhijab adalah disebabkan permintaan anak kedua saya ‘mama tak nak pakai tudung ke?’ yang buat saya agak terkejut.
“Kata-katanya buat seminggu saya tak tidur malam. Ditambah pula, umur saya sekarang, memang patut sudah berhijab dan bukan keputusan mudah.
“Bermula awal Ramadan, saya cari semula tudung-tudung lama dan pakai sehingga sekarang. Anak-anak pun gembira dengan keputusan saya ini,” katanya lagi.
Dia juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang tidak pernah berhenti mendoakan kesembuhannya sebelum ini.
“Alhamdulillah, antara sebab saya sembuh juga adalah kerana doa orang ramai.
“Syukur diberikan peluang kedua untuk meneruskan hidup. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh membalas jasa kalian,” ujarnya lagi
Terdahulu, A. Aida terpaksa ditidurkan selepas dilaporkan rebah ketika menjalani rawatan fisioterapi susulan pembedahan lutut. – KOSMO! ONLINE














