PETALING JAYA – Seorang mak nyah nekad meninggalkan kisah lalu dengan menjadi lelaki sejati selepas 24 tahun hidup dengan perasaan dan hati menjadi seorang wanita.
Kata Mohd. Hakimi Aziz, 40, dia nekad untuk berhijrah pada 31 Disember tahun demi mencari keberkatan serta keredaan Allah.
Konsultan di sebuah syarikat kosmetik terkemuka itu berkata, keputusan itu merupakan antara yang terbesar pernah dibuat dalam hidupnya dan berharap agar dirinya terus diberi kekuatan untuk kekal istiqamah.
“Memang saya dah nekad pada diri sendiri. Masuk usia 40 tahun saya nak berubah. Itu janji saya pada arwah abah dan pada diri sendiri. Bukan mudah dan tak semua kuat dan mampu buat. Saya pun manusia biasa, doakan saya kuat kekal dalam penghijrahan saya.
“Selama 24 thun saya memilih jalan menjadi seorang mak nyah. Cukuplah, usia dah masuk 40 tahun ni dah tak ada yang saya nak kejarkan. Cuma nak cari keberkatan keredaan Yang Maha Esa,” katanya kepada Kosmo!
Mohd. Hakimi berkata, bapanya yang meninggal dunia pada tahun 2022 seorang yang sangat baik, malah tidak pernah marah atau pukul sepanjang tempoh dia menjadi seorang ‘wanita’.
“Arwah abah seorang yang baik, dia terima saya seadanya. Cuma sebagai bapa dia nak yang terbaik. Selalu jumpa arwah abah mesti pesan ‘Abah tahu kau macam mana. Cuma abah pesan jangan ubah apa-apa dan jangan lupa solat’,” ujarnya.
Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, ibunya serta adik-beradik menerima keputusan tersebut dengan penuh rasa syukur dan gembira apabila mengetahui dia mahu berubah.
Katanya, ahli keluarga sudah mengenali dirinya sejak dahulu sebelum dia memilih jalan hidup sebagai mak nyah, justeru mereka menerima dirinya seadanya dan menyambut baik penghijrahan itu.
“Mereka semua ok je, gembira sangat. Keluarga tahu dulu saya mula-mula memang macam ini sebelum berubah ke dunia mak nyah ini.
“Jadi mereka ok dan gembira, mereka terima sahaja seadanya saya mula-mula, hormat saya sebagai abang. Kalau arwah Abah masih ada dia mesti gembira, itu buat saya sedih dan ralat sikit,” katanya.
Pada masa sama, Mohd. Hakim turut menjelaskan dia tidak menyesali jalan hidup yang pernah dipilih sebelum ini, sebaliknya melihat perubahan tersebut sebagai satu keputusan peribadi yang hadir apabila sampai masanya.
Dia juga berkata, dia tidak mahu penghijrahannya mengecilkan hati kawan-kawan terdekat kerana keputusan itu adalah semata-mata atas dirinya, bukan sebab lain.














