LONDON – Tottenham Hotspur dijangka melakukan rombakan besar-besaran pasukan itu pada musim depan dengan menjual kesemua pemain mereka kecuali sembilan tonggak yang akan kekal.
Spurs ketika ini berdepan kemungkinan tersingkir ke Liga Kejuaraan apabila hanya memiliki kelebihan satu mata berbanding pasukan di zon penyingkiran menyebabkan mereka perlu membuat perubahan besar.
Penjualan pemain-pemain itu bakal dilakukan untuk meningkatkan kekuatan dan sebagai langkah penstrukturan kewangan kelab bagi membolehkan mereka kembali bersaing di peringkat tertinggi.
Laporan menyebut bahawa ketua pasukan, Christian Romero akan mengetuai senarai pemain yang bakal dijual pada musim panas ini selain Pedro Porro dan Guglielmo Vicario turut sedia dilepaskan.
Romero ketika ini sedang diburu oleh beberapa kelab gergasi termasuk Atletico Madrid apabila Diego Simeone begitu meminati gaya permainannya dan Spurs berpeluang meraih nilai jualan hingga £60 juta (RM317.44 juta) hasil penjualan pemain pertahanan itu.
Bagaimanapun, sembilan pemain yang akan terus kekal melibatkan Micky Van De Ven, Dominic Solanke, Conor Gallagher, Mohammed Kudus, Xavi Simons, Archie Gray, Lucas Bergvall, James Maddison dan Dejan Kulusevski.
Pihak pengurusan tertinggi Spurs juga mahu memberi fokus kepada aspek kepimpinan apabila sedia mendapatkan khidmat pemain pertahanan Liverpool, Andy Robertson yang diyakini memiliki kriteria berkenaan. – AGENSI














