PETALING JAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan seluruh warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) supaya melaksanakan tugas dengan penuh keikhlasan dan amanah demi kepentingan rakyat.
Menurut beliau, setiap tanggungjawab yang digalas bukan sekadar tugas harian, sebaliknya amanah besar dalam memastikan kebajikan petani, penternak dan nelayan terus terpelihara.
“Bang Mat pesan kepada semua warga KPKM, buatlah kerja dengan ikhlas dan amanah. Apa juga tugas kita, lakukan yang terbaik demi rakyat.
“Kerja yang kita buat ini bukan sekadar tugas harian, tetapi satu amanah besar yang perlu kita pikul bersama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, beliau sempat meluangkan masa berbuka puasa bersama warga kementerian itu dan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.
Katanya, kesempatan duduk berbuka, berbual dan bertanya khabar mampu merapatkan lagi hubungan sesama warga kementerian. – KOSMO! ONLINE














