KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ketiga memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini hari ini, terdapat kemasukan sebanyak RM6 juta ke dalam akaun Ambank yang didaftarkan atas Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).
Penolong Pengurus AmBank cawangan Amcorp Mall, Nor Paizah Osman, 45, berkata kemasukkan wang itu adalah antara 21 Februari hingga 17 November tahun 2022 yang kesemuanya menerusi 10 transaksi cek.
Terdahulu saksi pendakwaan ketiga itu menyatakan akaun bank AmBank Bersatu itu dibuka pada 18 September 2018 dan merupakan jenis akaun semasa.
Ujarnya, akaun tersebut mempunyai enam penandatangan sah (authorised signatories) yang mana antaranya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, dalam soalan tambahan pihak pendakwaan mengenai sepanjang kemasukan wang berjumlah RM6 juta daripada Februari hingga November 2022 tentang siapa presiden untuk (Bersatu) dan saksi itu menjawab, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, saksi itu tidak dapat mengingati sama ada pihak bank ada menerima apa-apa inkuiri (siasatan) dari Bank Negara (BNM) berhubung akaun Bersatu ini.
Saksi itu turut mengakui kesemua transaksi cek ini tidak mempunyai sebarang masalah.
Dalam pada itu ketika disoal balas pihak peguam, adakah kesemua transaksi itu transaksi yang biasa, saksi itu bersetuju.
Semalam Pengurus Kewangan CIMB Bank, Cawangan Menara CIMB KL Sentral, Lee Hui Nee memberitahu mahkamah bahawa terdapat kemasukkan wang RM19.3 juta ke dalam akaun atas nama Bersatu.
Hui Nee memaklumkan kesemua wang itu menerusi 28 transaksi yang mana akaun tersebut didaftarkan sebagai ‘Current Account-i’ dan jenis perniagaan didaftarkan adalah ‘Political Party’.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung lagi 13 April ini.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin, 79, didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM225.3 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat sekutu parti itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 yang didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, Muhyiddin selaku Presiden Bersatu didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah lebih RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik parti.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE














