LONDON – Pengguna jalan raya di Britain diminta untuk mengurangkan memandu dan menekan brek mengejut bagi menjimatkan bahan api, lapor akhbar The Sun UK.
Nasihat itu dikeluarkan selepas harga minyak mentah melonjak melebihi paras AS$100 (RM394) setong semalam dengan penanda aras Brent meningkat kepada AS$119.50 (RM471) setong.
Terdapat kebimbangan di Britain bahawa harga petrol berkemungkinan melebihi £1.91 (RM10) seliter ketika perang Asia Barat berlarutan.
Berikutan perkembangan itu Presiden Persatuan Automobil (AA), Edmund King meminta pemandu tidak melakukan perjalanan tidak penting dan menukar gaya pemanduan untuk menjimatkan petrol.
“Elakkan memecut atau menekan brek mengejut,” kata pakar-pakar Kelab Automobil Diraja (RAC).
Terdahulu, Perdana Menteri Keir Starmer memberi amaran bahawa perang berterusan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran akan memberi kesan buruk kepada ekonomi Britain.
Konflik itu menyebabkan Selat Hormuz yang mengendalikan satu perlima perdagangan minyak dunia ditutup. – AGENSI














