fbpx
GAMBAR HIASAN

Tempoh mohon UPUOnline lepasan SPM dilanjut hingga 12 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Tempoh permohonan kemasukan pelajar Sesi Akademik 2026/2027 bagi Fasa Permohonan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui UPUOnline® kini dilanjutkan hingga 12 April ini berbanding tarikh tutup asal pada 23 Mac.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkata, bagaimanapun tarikh tutup permohonan bagi Fasa Pertama Lepasan STPM/Setaraf kekal pada 23 Mac ini.

“Bagi calon-calon Lepasan SPM yang masih belum membuat permohonan, pembelian nombor Pin UPUOnline® boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan bayaran sebanyak RM10.60.

“Kaedah bayaran nombor Pin UPUOnline® di BSN boleh dibuat di 387 buah kaunter cawangan BSN seluruh negara, 843 mesin pengeluaran wang automatik dan perbankan internet myBSN,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, BSN akan mengeluarkan nombor Pin UPUOnline® berserta salinan resit pembayaran.

“Sila pastikan slip pembayaran sebagai bukti sah pembelian disimpan untuk rujukan. Semua calon yang layak dipelawa mengambil peluang ini untuk menyambung pengajian di peringkat tinggi,” katanya.

Untuk rekod, terdapat sebanyak 363 program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM dan 1,146 program pengajian untuk lepasan STPM/Setaraf oleh universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan Mara Bahagian Pendidikan Tinggi.

“Semua calon dinasihatkan untuk melengkapkan permohonan lebih awal dan tidak menunggu hingga saat akhir bagi mengelak sebarang gangguan atau kesesakan trafik pada sistem UPUOnline®.

“Selain itu, pastikan permohonan disahkan dengan menekan butang ‘Saya Setuju’ dan slip permohonan dicetak atau dimuat turun sebagai rujukan serta bukti permohonan berjaya dihantar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI