KANGAR – Kerajaan Negeri Perlis mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM1,500 secara one-off kepada semua penjawat awam negeri itu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, bantuan khas itu diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan komitmen penjawat awam negeri dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Selain itu, bagi mengenang jasa dan menghargai penjawat awam negeri Perlis, saya dengan berbesar hati mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri Tahun 2026 sebanyak RM1,500 secara one-off kepada semua penjawat awam negeri lantikan tetap, kontrak dan sementara serta MySTEP.
“Bayaran BKKA ini akan dilaksanakan pada 13 Mac ini,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis di sini hari ini.
Menurutnya, bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban penjawat awam negeri dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Katanya, pemberian itu juga mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan penjawat awam yang sentiasa komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar.
Difahamkan terdapat kira-kira 1,700 penjawat awam negeri dengan nilai BKKA disalurkan kali ini berjumlah sekitar RM2.55 juta. – KOSMO! ONLINE














