SEREMBAN – Lebih separuh rakyat Malaysia yang terkandas di Asia Barat telah berjaya pulang setakat ini selepas beberapa negara di rantau itu membuka semula ruang udara secara berperingkat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ramai yang telah berjaya pulang ke Malaysia selepas transit di Dubai, Doha dan Abu Dhabi.
“Kita juga minta mereka yang sudah mendapat tempat duduk penerbangan atau sudah pulang supaya memaklumkan kepada kedutaan agar rekod dapat dikemas kini.
“Jangan sampai kita ingat mereka masih terkandas, sedangkan mereka sebenarnya sudah pulang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan di Dewan Orang Ramai Taman Kelab Tuanku, Mambau di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan telah meluluskan dasar pelan evakuasi rakyat Malaysia sebagai langkah persediaan jika keadaan keselamatan di rantau Teluk kembali meruncing.
Sebelum ini, seramai 29,112 rakyat Malaysia terkandas di Asia Barat susulan ketegangan konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran. – KOSMO! ONLINE














