PETALING JAYA – Penghuni rumah diingatkan agar tidak bersembunyi di dalam bilik air atau tandas jika berlaku kebakaran, sebaliknya segera menuju ke bilik yang mempunyai tingkap menghadap luar.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Hassan ‘As’ari Omar berkata, mereka juga perlu menutup celah pintu dengan kain basah serta memberi isyarat meminta bantuan.
Katanya, penduduk juga diingatkan supaya mengenal pasti laluan kecemasan bagi menyelamatkan diri.
“Trend kematian mangsa kebakaran di dalam bilik air atau tandas membimbangkan.
“Kebanyakan mangsa berlindung di bilik air kerana menyangka air dapat mengurangkan bahang api tetapi sebenarnya tidak,” katanya pada sidang akhbar di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














