KUALA LUMPUR – Berjinak-jinak berniaga di platform TikTok, pelakon Johan As’ari kagum dengan kesungguhan golongan usahawan atas talian mempromosikan produk tanpa henti yang menuntut kekuatan mental serta stamina tinggi.
Johan atau nama sebenarnya Johan Ariff As’ari, 39, berkata, dia yang hanya bersiaran langsung sekitar dua jam sehari sejak awal Ramadan menjual baju Melayu rakannya menjadikan orang lain sebagai contoh andai hampir patah semangat.
“Kawan saya yang mengusulkan saya promosikan baju Melayu di laman sosial. Produk bagus dan kebetulan saya selalu buat ‘live’, jadi saya setuju.
“Agak mencabar rupa-rupanya buat siaran langsung menjual barang berbanding ‘live’ biasa yang saya buat sebelum ini. Kita kena tahu selengkapnya mengenai barang jualan serta sedia respons bakal pelanggan dengan pantas.
“Bukan senang macam kita tengok orang lain buat benda sama. Sebelum ke majlis ini pun saya baru dapat jual beberapa pasang sepanjang dua jam ‘live’. Memang kena ada kesabaran tinggi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama muzikal pendek Watsons Glam Glam Glam Raya, baru-baru ini.
Pelakon filem Juvana itu berkata, cabaran dilalui tidak mematahkan azam untuk tampil dengan idea segar yang membolehkan lebih ramai mengikuti sesi siaran langsungnya.
“Kiranya ada banyak lagi perkara saya perlu pelajari untuk menarik orang ramai. Apa pun, ini semua pengalaman berharga. Saya akan teruskan jadi hos live ini sampai menjelang raya,” ujarnya.
Ditanya sama ada berdepan sikap skeptikal sesetengah individu, akui Johan pandangan sebegitu lumrah walaupun sekiranya dia bukan seorang artis.
“Biasalah ada mulut-mulut sebut ‘dah sendu jual barang kat TikTok’ dan macam-macam lagi. Hakikatnya ramai selebriti lain promosikan produk dengan cara sama demi mencari rezeki halal
“Bukan kita mencuri atau menipu orang. Jadi saya tak ambil peduli. Lagipun ini tugas sejam, dua sahaja ikut kesesuaian masa saya. Kalau terikat komitmen lain, mungkin hari itu sesi ‘live’ saya skip atau gantikan waktu lain,” ujarnya.
Selepas menyempurnakan pementasan teater muzikal sebelum Ramadan, Johan bakal masuk ke set penggambaran filem akhir Syawal sekali gus tempoh ini digunakan sepenuhnya bagi membuat persediaan watak selain memperuntukkan masa dengan keluarga. – KOSMO! ONLINE














