PETALING JAYA – Kumpulan popular, Insomniacks tampil membuat permohonan maaf susulan penularan muzik video (MV) single terbaru ‘Bersuara’ mereka yang didakwa memplagiat karya kumpulan K-pop, Xdinary Heroes.
Tindakan itu diambil susulan maklum balas peminat yang mengesan persamaan ketara dari segi elemen visual dan konsep antara MV tersebut dengan MV kumpulan K-pop, Xdinary Heroes bagi lagu ‘Beautiful Life’.
Menerusi kenyataan rasmi mereka di media sosial, kumpulan itu turut mengambil tindakan menurunkan video berkenaan di semua platform rasmi.
“Kami ingin memohon maaf kepada penyokong kami, Maniacks dan seluruh komuniti kreatif yang berasa kecewa dengan kesilapan ini.
“Kami mengambil perkara ini sebagai pengajaran yang serius untuk masa hadapan dan tindakan menurunkan MV tersebut dilakukan serta-merta sebagai langkah tanggungjawab kami setelah isu ini dibawa ke pihak pengurusan,” jelas kenyataan itu.
Menurut Insomniacks, persamaan visual dan konsep yang ketara milik Xdinary Heroes adalah berpunca daripada kecuaian mereka dalam melakukan pemantauan kreatif.
“Disebabkan kesuntukan masa, kami terpaksa melepaskan banyak kawalan kreatif dan mempercayai pasukan produksi untuk menyiapkan projek berdasarkan idea awal dan kami tidak menyangka hasilnya akan menjadi serupa sehingga ke tahap plagiat,” katanya.
Semua pihak yang terlibat dalam penghasilan muzik video tersebut telah bekerja keras untuk menjayakannya, namun tidak menyedari bahawa elemen yang digunakan berpotensi menimbulkan isu plagiat.
Dalam pada itu, vokalis utama mereka, Iqie atau Syed Mir Iqbal berkata, dia mengakui kesilapan tersebut dan memohon orang ramai untuk tidak menyebarkan kebencian terhadap mana-mana pihak.
Iqie turut berkata, bahawa dia memahami kekecewaan peminat kumpulan Xdinary Heroes yang dikenali sebagai Villains.
“Apa yang kami lakukan adalah salah dan kami perlu bertanggungjawab serta terima kasih kerana menegur kami,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














