TAMPIN – Seorang wanita terkunyah dawai ketika menikmati hidangan nasi goreng yang dibeli suaminya di sebuah restoran di Gemas.
Pemilik akaun media sosial dengan nama Rathiga Rathi mendakwa, dia terpaksa membuang sahaja nasi itu walaupun baru separuh sahaja dimakan.
“Janganlah buat macam ini, kalau masak, masaklah betul betul. Tengoklah hadiah apa saya dapat daripada tukang masak. Nasib baik ketika kunyah dah rasa ada sesuatu, lagipun nasi pun saya ambil separuh.
“Anak saya pun makan sekali dengan saya. Harap dia tak kena sebab biasanya dia tak pandai kunyah. Kalau budak kecil mesti telan,” kongsinya di media sosial.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan, Dr. Zuraida Mohamed ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengesan pemilik akaun tersebut untuk mendapatkan maklumat.
“Ini membolehkan pihak kami untuk menjalankan siasatan lebih lanjut serta mengambil tindakan bersesuaian,” katanya.














