KUALA LUMPUR – Sebanyak 62 peratus daripada permohonan penurunan kandungan dalam talian oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) adalah berkaitan unsur perjudian.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kandungan penipuan termasuk akaun palsu dan penyamaran pula merangkumi 21 peratus daripada keseluruhan permohonan, manakala kandungan jelik mencatatkan tujuh peratus.
Menurut beliau, bagi tempoh 2022 hingga 1 Mac 2026, sebanyak 576,269 permohonan penurunan kandungan berkaitan perjudian telah direkodkan.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 197,120 permohonan melibatkan kandungan penipuan termasuk akaun palsu dan penyamaran, manakala kandungan jelik pula mencatatkan 69,541 permohonan.
“Tindakan muktamad penurunan kandungan berdasarkan aduan, syarat-syarat garis panduan komuniti pemberi perkhidmatan dan aplikasi undang-undang tempatan yang berkuat kuasa,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri S. Vell Paari mengenai tiga ancaman keselamatan dalam talian tertinggi di Malaysia.
Terdahulu, Nie Ching berkata, jumlah permohonan penurunan kandungan oleh MCMC kepada pemberi perkhidmatan menunjukkan trend meningkat dari tahun ke tahun.
Menurut beliau, trend meningkat itu disebabkan oleh pelbagai faktor seperti peningkatan pemantauan proaktif oleh MCMC, kesedaran orang ramai akan saluran aduan dan peningkatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi tujuan penyebaran kandungan memudaratkan.
Jelas beliau, isu penipuan dalam talian, kecurian identiti dan pencerobohan data secara berada di bawah bidang kuasa agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Agensi Keselamatan Siber Negara dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi.
Bagaimanapun, katanya, MCMC turut menyokong usaha penguatkuasaan melalui bantuan teknikal kepada agensi berkaitan termasuk pembekalan maklumat dan analisis forensik digital bagi membantu siasatan.
Kata beliau, tindakan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap penyebaran kandungan memudaratkan dalam talian dilaksanakan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025. – KOSMO! ONLINE














