MELAKA – Enam peniaga ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas dikesan menjual makanan kepada pelanggan beragama Islam seawal pukul 9 pagi demi mengejar keuntungan.
Kesemua mereka yang berusia 20-an hingga 40-an ditahan dalam serbuan di sebuah medan selera di kawasan industri di Ayer Keroh dekat sini kira-kira pukul 11.10 pagi, Khamis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, Surat Perintah Hadir telah keluarkan susulan perbuatan itu melanggar Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.
“Hasil pemeriksaan mendapati penjual dipercayai mula menjual makanan seawal pukul 9 pagi kepada pelanggan beragama Islam sedangkan mereka tahu kesalahan dilakukan itu.
“Kita kecewa dengan sikap tidak mempedulikan sensitiviti bulan ibadah semata-mata mahu mengejar keuntungan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya, turut ditahan adalah tiga pelanggan lelaki yang beragama Islam kerana didapati makan pada siang hari di bulan Ramadan.
“Majoriti mereka bekerja sendiri, manakala selebihnya pekerja sektor swasta dan kesemua tiga pelanggan tidak dapat memberikan alasan munasabah melakukan kesalahan itu.
“Berdasarkan seksyen itu, perbuatan makan, minum, atau menjual makanan kepada orang Islam pada waktu siang untuk dimakan serta merta di bulan Ramadan adalah satu kesalahan yang boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan,” ujarnya.
Rahmad berkata, bagi kesalahan berulang, hukuman meningkat kepada denda RM2,000 atau penjara 12 bulan, manakala bagi kesalahan merokok di siang hari pula, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500 atau penjara sehingga tiga bulan. – KOSMO! ONLINE














