SUBANG – Skim Keselamatan Sosial Gig Malaysia (SEGiM) yang baru diluluskan Kabinet akan melalui beberapa penambahbaikan sebelum dilaksanakan sepenuhnya.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, skim tersebut sebelum ini tertangguh sejak tahun 2023.
Menurut beliau, pada masa ini SEGiM hanya tertumpu kepada pekerja gig di bawah platform sahaja.
“Memang skim ini telah diluluskan, tetapi terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan. Antaranya adalah sekarang ini SEGiM hanya tertumpu kepada pekerja di bawah platform sahaja.
“Walau bagaimanapun, di bawah Kesuma (Kementerian Sumber Manusia), kita mempunyai Akta Gig. Akta Gig ini akan melibatkan pekerja platform dan juga pekerja bukan platform (non-platform),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program penyerahan sumbangan baju raya kepada 50 pelajar Tahfiz Az Zahra Lilbanin dari Sungai Buloh di The Saujana Hotel Kuala Lumpur di sini malam ini.
Beliau berkata, pihak Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) telah menyalurkan bantuan berupa baju raya bagi membantu persiapan para pelajar tahfiz menyambut Aidilfitri.
Menurutnya, selain sumbangan pakaian raya, pihak penganjur turut menyelaraskan pemberian duit raya kepada pelajar-pelajar yang terlibat.
Tambahnya, pelajar turut menerima sumbangan tambahan daripada beliau sendiri serta daripada Pengarah Eksekutif NIOSH, Datuk Ayop Salleh. KOSMO! ONLINE














