fbpx
Mohd. Razlan ketika ditemui pemberita pada Program Sinar Ramadan di Sungai Besar, Sabak Bernam. FOTO:AFIQ RAZALI

Rumah Bangsa mampu satukan parti Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SABAK BERNAM – Rumah Bangsa menjadi peluang terbaik untuk menyatukan parti Melayu sekaligus mengekalkan kuasa politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan kekuatan politik Melayu terus terpelihara serta mengelak perpecahan yang boleh melemahkan pengaruh dalam pentadbiran negara.

Menurutnya, perpaduan orang Melayu ketika ini berada pada tahap kritikal apabila perpecahan dalaman berpotensi menjejaskan dominasi politik.

“Perjuangan orang Melayu umpama telur di hujung tanduk dan jika kita tidak bersatu, kuasa boleh hilang.

“Rumah Bangsa adalah peluang menyatukan kembali parti-parti Melayu dan memastikan dominasi politik Melayu dikekalkan,” katanya ketika ditemui pada Program Sinar Ramadan di Sungai Besar di sini, petang ini.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keterbukaan pintu Rumah Bangsa seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung untuk kembali bersama parti itu tanpa syarat.

Menurut Mohd. Razlan, masyarakat Melayu perlu mengambil iktibar beberapa negara lain yang menyaksikan kuasa politik bangsa pribumi semakin terhakis sama ada singkat atau panjang.

“Situasi itu tidak mustahil berlaku jika kita terus berpecah dan terlalu selesa dengan jumlah umat Islam di negara ini yang dianggarkan mencecah 60 peratus.

“Jangan anggap peratusan itu terlalu besar kerana bila-bila masa sahaja kita boleh kehilangan kuasa jika kita tidak melihat perkara ini dengan serius,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI