KUALA LUMPUR – Polis membongkar kegiatan perjudian dalam talian yang beroperasi di sebuah unit kondominium dengan menahan lima individu dalam serbuan di sekitar Bukit Jalil, di sini semalam.
Serbuan kira-kira pukul 1 petang, dijalankan oleh Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah premis pejabat dan berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia 36 tahun.
Katanya, penahanan itu membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah kondominium berhampiran.
“Dalam serbuan itu, empat warga China terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 35 tahun yang sedang mengurus laman web perjudian turut ditahan.
“Siasatan mendapati kesemua suspek berperanan sebagai ejen yang mengurus, menganjur serta mempromosikan kegiatan perjudian dalam talian dengan menyasarkan pelanggan dari China,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak dua bulan lalu dengan menyewa premis tersebut kira-kira RM2,000 sebulan sebagai tempat operasi.
Jelas beliau, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua warga China yang ditahan memasuki negara ini menggunakan pas pelancong.
Tambahnya, kesemua suspek direman selama tiga hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE














