DUNGUN – Seorang mekanik warga Thailand diberkas polis kerana disyaki mengedar dadah jenis pil Yaba di Al Muktafi Billah Shah, di sini hari ini.
Lelaki berusia 38 tahun tersebut ditahan di tepi jalan di wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) tersebut pada pukul 9 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, sepasukan polis bertindak menahan suspek yang didapati dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan pada badan suspek telah menjumpai beberapa bungkusan disyaki mengandungi dadah jenis pil Yaba.
“Siasatan awal mendapati pil Yaba seberat kasar 221.55 gram tersebut bernilai RM17,724,” katanya di sini hari ini.
Maizura berkata, ujian saringan urin mendapati lelaki warga asing tersebut positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau berkata, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














