PETALING JAYA – Kebajikan petani terus menjadi keutamaan apabila Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu turun padang menyantuni komuniti tani menerusi Program Ziarah Kasih Tani di Kota Bharu, Kelantan pagi tadi.
Beliau berkata, kerajaan komited memastikan golongan petani tidak terpinggir, sebaliknya terus diberi perhatian sewajarnya memandangkan peranan besar mereka dalam menjamin bekalan makanan negara.
“Pendekatan turun padang membolehkan kementerian memahami sendiri realiti kehidupan dan cabaran yang dihadapi petani di peringkat akar umbi.
“Bila kita turun sendiri, kita boleh dengar terus cerita mereka dan faham keadaan sebenar yang mereka lalui,” katanya.
Dalam program tersebut, Mohamad turut menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada beberapa keluarga sebagai usaha meringankan beban mereka.
Katanya, sumbangan itu mungkin tidak seberapa, namun diharap dapat membantu sedikit sebanyak dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin mencabar.
Beliau menegaskan, petani, penternak dan nelayan akan terus menjadi fokus kementerian selaras agenda memperkukuh keterjaminan makanan negara.
“Selagi ada ruang dan kemampuan, kita akan terus bantu serta jaga kebajikan mereka,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE














